Thursday, December 6, 2007

Anak didik Sarjit kecundang lagi

Anak didik Sarjit kecundang lagi
Oleh Hamdan Saaid

KEBANGKITAN hebat lewat permainan tidak cukup membantu skuad hoki negara yang kalah tipis 3-2 di tangan juara dunia, Jerman di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, kekalahan kelima mereka daripada enam perlawanan pada kempen Trofi Juara-Juara.

Jaringan S Selvaraju pada minit ke-54 dan Ismail Abu minit ke-62 bagaimanapun menjadi penyuntik semangat buat anak buah Sarjit Singh yang akan berdepan pasukan sama pada kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008 di Kakamigahara, Jepun, April tahun depan.

Dua gol menerusi pukulan sudut penalti menamatkan babak pertama yang bagaimanapun agak seimbang dalam 20 minit pertama dengan kedua-dua pasukan agak sukar untuk menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing.



Sarjit membuat sedikit perubahan dengan penjaga gol muda, Khairulnizam Ibrahim beraksi kali pertama pada kejohanan ini mengambil alih tempat S Kumar.

Selepas 24 minit, Jerman akhirnya mendapat peluang pertama mereka apabila dianugerahkan pukulan sudut penalti dan Florian Keller menolak bola tinggi untuk meletakkan pasukannya di depan.

Beberapa saat sebelum babak pertama ditamatkan, Keller sekali lagi menyempurnakan sudut penalti, ketiga diterima pasukannya, dengan tolakan bola leret menewaskan Khairulnizam kali kedua.

Tidak sampai seminit babak kedua berlangsung, ketika hujan kembali lebat, Jerman terus menambah sengsara kem Malaysia dengan gol ketiga, sekali gus membuktikan penguasaan mereka.

Matthias Witthaus tenang menyambut serta memukul masuk hantaran pendek ketua pasukan Timo Wess dalam kawasan D.

Awalnya, Malaysia, yang setakat ini hanya meraih satu mata hasil keputusan seri 2-2 dengan Pakistan, mensia-siakan peluang menerusi Ismail, ketua pasukan Azlan Misron dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil.

Selvaraju mengurangkan defisit gol apabila menerima hantaran ketua pasukan Azlan Misron dengan berpusing sebelum memukul bola masuk melepasi penjaga gol Jerman, Christian Schulte.

Kira-kira 4,000 penonton yang hadir sekalipun hujan agak terhibur dengan persembahan skuad negara yang merapatkan kedudukan menerusi Ismail berikutan pukulan percuma Engku Malek Engku Mohamad. Ismail mudah memukul kencang bola lantunan daripada penjaga gol lawan.

No comments: