Thursday, December 6, 2007

Jerman sah ke perlawanan akhir

KUALA LUMPUR – Juara dunia Jerman mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir kejohanan hoki Trofi Juara-juara selepas mengalahkan Malaysia 3-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Jerman mendahului Malaysia, yang membariskan pemain-pemain simpanan termasuk penjaga gol Khairunizam Ibrahim, 2-0 pada separuh masa pertama menerusi dua gol pakar penalti sudut Florian Keller pada minit 25 dan 69.

Mereka menambah gol ketiga seminit selepas permainan disambung menerusi Matthias Witthaus sebelum menyaksikan Malaysia cuba bangkit tetapi sudah terlambat.

Skuad negara merapatkan jurang jaringan menerusi penyerang S. Selvaraju pada minit 54 dan Ismail Abu minit 62.

Jerman mengutip 16 mata selepas enam perlawanan, lima mata di depan Korea Selatan di tempat kedua manakala Australia mengumpul 10 mata untuk menghuni anak tangga ketiga.

Dengan kekalahan itu, Malaysia yang hanya mengumpul satu mata hasil seri 2-2 dengan Pakistan sudah pasti menduduki tempat tercorot pada peringkat awal ini dan akan bersaing merebut tempat ke-7/8 sama ada dengan Pakistan (lima mata) atau Britain (enam mata) pada Ahad ini.

Semua pasukan masih mempunyai baki satu perlawanan dengan Malaysia akan bertemu Sepanyol esok. Sebarang keputusan tidak akan mengubah kedudukan skuad bimbingan Sarjit Singh itu.

Sepanyol menduduki tempat kelima ketika ini dengan lapan mata, di belakang juara Eropah, Belanda yang mengutip sembilan mata untuk berada di anak tangga keempat ketika ini.

No comments: